Sunday, 31 May 2015

Di Mana Salahnya Punya Ramai Anak?

Penulis hanya mampu tersenyum bila ada yang membidas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengenai hasrat kerajaan untuk menggalakkan pasangan berkahwin menambah bilangan anak bagi menyokong peningkatan populasi negara.
Sedar tak kita dalam kita memperlekehkan saranan itu, beliau dan kerajaan sebenarnya tidak bercakap kosong atau sekadar melontarkan pandangan membabi-buta begitu saja. Saranan beliau sebenarnya DISERTAI dengan beberapa inisiatif tertentu yang jarang dibuat oleh kerajaan negara lain.
Antaranya, kerajaan mengadakan kemudahan rawatan Klinik Kesuburan sekiranya pasangan itu tidak boleh melahirkan anak. Galakan lain diberikan termasuk cuti bersalin kepada suami ditambah kepada tujuh hari berbanding tiga hari sebelum ini bagi memberi peluang menjaga anak selain waktu kerja anjal dan cuti bersalin antara 60 hari hingga 90 hari. Dengan waktu kerja anjal, wanita boleh bekerja dari rumah atau mula kerja sedikit lewat untuk menguruskan keluarga.
Kerajaan juga memberi galakan dalam bentuk geran kepada jabatan untuk menubuhkan taska atau pusat jagaan di tempat kerja manakala sektor swasta akan menikmati 10 peratus pengecualian cukai. Selain itu, syarikat juga dikecualikan 100 peratus cukai perbelanjaan bagi mengadakan program seperti hari keluarga.
Baik sebelum kita pergi jauh, jom kita lihat fakta ini.
Kadar pertumbuhan penduduk di negara ini diunjurkan menurun bagi tempoh 2020 hingga 2035 berikutan kemerosotan Kadar Kesuburan Jumlah (KKJ) daripada 2.1 anak kepada 1.91. Dalam erti kata lain, ia adalah bersamaan dengan paras penggantian. Paras penggantian merujuk kepada bilangan anak yang dilahirkan hanya cukup untuk menggantikan ibu bapanya sahaja.
Pada paras penggantian ini, negara mengalami pertumbuhan penduduk sifar!
Penurunan KKJ ini juga akan menyebabkan Malaysia diunjur menjadi negara tua pada 2035 apabila 15 peratus daripada populasi penduduknya adalah warga emas berumur 60 tahun ke atas.
EKONOMI
Sebelum kita nak melenting tak tentu pasal, kita kena fikir sejenak mengapa kerajaan mempunyai sebab-sebab yang munasabah berhubung dengan pembesaran saiz kependudukan. Sedar tak kita yang pertumbuhan penduduk adalah asas penting bagi perkembangan perindustrian dan pengwujudan pasaran untuk barang keluaran tempatan?
Anak-anak kita bukan sahaja aset penting kepada keluarga malah merupakan aset kerajaan pada masa depan. Ini kerana kecemerlangan mereka mampu membawa perubahan dan kemajuan negara pada masa depan.
Negara memerlukan modal insan cemerlang sebagai pewaris dalam usaha memastikan kesinambungan kemajuan. Dengan jumlah penduduk yang ramai, negara dapat menyediakan tenaga kerja, meningkatkan daya pengeluaran, meningkatkan kuasa beli rakyat dan mengukuhkan kedudukan politik serta keselamatan.
Rasional untuk mencapai matlamat kependudukan juga adalah untuk menyediakan satu asas permintaan dan pasaran bagi keluaran industri industri tempatan. Ini akan mengwujudkan keadaan persaingan dalam pasaran dan selanjutnya akan meninggikan daya dan mutu pengeluaran untuk eksport.
Harus diingat, pertumbuhan penduduk adalah dianggap sebagai modal yang utama untuk kemajuan ekonomi dan sosial sesebuah negara, disamping dapat meningkatkan daya pengeluaran ekonomi seperti mana yang disebut tadi.
Dasar ini sebenarnya memperlihatkan satu perubahan pemikiran yang penting dan radikal mengenai kependudukan iaitu daripada dasar pertumbuhan yang berbentuk ‘restrictive’ kepada yang berbentuk ‘promotive’.
Dasar seperti ini diharap memelihara kepentingan jangka panjang negara memandangkan hakikat bahawa rakyat bukanlah merupakan ‘tanggungan’ negara tetapi sebaliknya dianggap sebagai harta-harta produktif yang penuh berpotensi.
BEBAN
Pimpinan agung kita, Nabi Muhammad SAW sendiri sungguh gembira apabila umatnya mempunyai anak yang ramai. Ini dapat dilihat dalam satu hadis diriwayatkan Abu Daud, baginda bersabda maksudnya:
“Nikahlah wanita yang mencintaimu dan subur. Sesungguhnya aku akan berbangga atas kamu kerana umat yang paling ramai.”
Kita janganlah menerima bulat-bulat tanggapan sesetengah pihak kononnya ramai anak akan membawa kesusahan dan penderitaan hidup. Anak yang dilahirkan adalah anugerah Ilahi dan kurniaan kepada umatnya. Zuriat bukan sekadar penyambung warisan malah bukti kekuasaan Allah.
Ingat, urusan rezeki adalah ketetapan Tuhan dan tidak wajar manusia merasa ragu dengan rezeki yang diperlukan bagi membesarkan zuriat mereka.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kami-lah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” (Surah al-Isra’, ayat 31)
Sekiranya masyarakat Islam pada hari ini memahami dan berpegang teguh dengan konsep qada’ dan qadar, pastinya mereka tidak akan merasa kecewa, sebaliknya bersangka baik dengan Allah dan bersedia mengharungi dugaan itu dengan penuh redha.
Oleh itu, lahirnya seorang anak bukannya sebagai satu keseronokan hidup atau menambahkan satu bebanan yang tidak tertanggung. Sebaliknya, kelahiran anak yang diharap dapat menyambung warisan kekeluargaan dan sebagai satu ujian Allah kepada pasangan suami isteri atau ibu bapa.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam (Surah Al-Anfal: ayat 28) : “Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya disisi Allah jugalah pahala yang besar”.
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa kehadiran anak adalah adalah penawar kepada ibu bapanya terutamanya pabila usia emas kelak. Memang ada orang yang mengeluh mempunyai anak, kerana banyak wang yang diperlukan untuk memelihara anaknya. Ada juga orang yang tidak mahu mempunyai anak dan sanggup mengambil ubat-ubat pencegah kehamilan dengan alasan masih belum bersedia untuk memperolehi anak, menjaga badan, terlalu muda, belum mampu dan sebagainya.
Tetapi mereka lupa sesugguhnya anak bukan membebankan tetapi ia adalah pembawa rezeki kepada keluarga tersebut. Setiap anak telah ditetapkan rezekinya semasa dalam kandungan lagi.
KUALITI HIDUP
Yang menjadi kritikan segelintir pihak terhadap Menteri Pembangunan Wanita Dan Masyarakat kononnya bila beliau dikatakan meminta kita mengorbankan ‘sedikit kualiti hidup’ dalam usaha untuk menggalakkan pertumbuhan penduduk.
Bercakap pasal pengorbanan ini, dalam hidup sudah tentu pelbagai pengorbanan yang terpaksa kita buat apatah lagi dalam kehidupan berkeluarga. Sebagai contoh, kualiti tidur si ibu pasti terganggu bila bayi atau anaknya menangis mahukan susu, kualiti rehat sang bapa pasti terjejas kerana terpaksa berusaha lebih bagi memastikan keluarganya terbela, kualiti masa si anak pasti terjejas kerana perlu menghadiri tiusyen menjelang peperiksaan dan sebagainya.
Tetapi ini adalah lumrah kehidupan. Pengorbanan dalam pelbagai aspek perlu dan terpaksa ditanggung jika ingin berjaya di dunia dan akhirat. Namun apa pun pengorbanan yang terpaksa dibuat, sudah barang pasti ia tidak melibatkan perkara asas seperti pemakanan, ibadah, kesihatan dan lain-lain itu.
Menteri tidak berkata jangan sembahyang sebab anak ramai, jangan makan sebab anak bercambah, jangan sekolah sebab anak melimpah!
Pengorbanan yang dimaksudkan adalah dari segi kemewahan, keseronokan dan pelbagai perkara lain yang bukan menjadi KUDIS pun sekiranya tidak dibuat. Bila anak ramai, sudah tentu perlu kawalan dari segi kewangan, perbelanjaan harian dan sebagainya. Tak dapat hantar anak ke sekolah muzik mungkin, tak dapat melancong ke luar negara, tak dapat selalu makan di luar sebagai contoh.
Kesimpulannya janganlah kita cepat benar memberi tafsiran negatif kepada orang lain, tak kisahlah sama ada si polan itu Menteri di Putrajaya atau nelayan di Kuala Kedah. Kaji dan selidik dulu sebelum memberi kritikan dan cemuhan. Yang paling penting kita kena lihat sesuatu isu dalam ruang lingkup yang lebih luas dan bukannya disempitkan dek pemikiran kita yang mempunyai agenda itu.
Dalam dunia ini jangan hanya fikir hendak SHARE atau LIKE, tetapi fikir juga tentang dosa dan pahala yang hendak dibawa di hari pengadilan. Tepuk dada tanya selera. –mynewshub.cc

No comments:

Post a Comment