JEMPOL - Seorang nenek trauma apabila dicabul sewaktu menunggang motosikal bersama suaminya dalam perjalanan ke kebun getah sekitar Bahau awal pagi Selasa lalu.
Tindakan suspek disifatkan kurang ajar walaupun ketika kejadian mangsa bersama suaminya, malah nenek berkenaan adalah warga emas.
Sewaktu kejadian, nenek berusia pertengahan 60-an manakala suaminya, 70-an mahu pergi menoreh getah sekitar jam 5.30 pagi lewat daripada kebiasaan.
Ketua Kampung Mahsan, Lee Kon Chin berkata, selalunya pasangan warga emas itu ke kebun getah kira-kira jam 4.30 pagi namun hari berkenaan mereka lewat sedikit.
“Apabila mereka tiba di kawasan kebun, mereka nampak ada sebuah motosikal di belakang mereka dengan jarak beberapa meter.
"Suspek yang berusia lingkungan 30-an menutup wajah dengan bajunya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Tambah Kon Chin, suami mangsa kemudiannya memberhentikan motosikal berikutan ingin memberi laluan kepada motosikal suspek.
“Dalam masa sama, suspek juga berhentikan motosikalnya. Suspek kemudiannya memotong kenderaan mangsa sambil tangannya meraba belakang badan mangsa,” katanya.
Tambahnya, akibat daripada kejadian itu suami mangsa bertindak memberhentikan motosikal lalu mengambil kayu, bagaimanapun, suspek memecut laju motosikalnya.
“Kes ini saya telah maklumkan di Pondok Polis Mahsan untuk tindakan lanjut. Berdasarkan kes ini, saya berharap orang ramai akan lebih berhati-hati tidak kira di mana saja.
"Kejadian ini memang tidak mengira usia, warga emas pun menjadi sasaran. Saya khuatir kes seperti ini akan melarat jadi kes jenayah lain. Saya berharap orang ramai tidak ambil ringan dan segera maklumkan kejadian seperti ini kepada polis ataupun pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, usaha untuk menemu ramah mangsa bagaimanapun gagal berikutan mangsa enggan ditemui kerana masih trauma
No comments:
Post a Comment