BAHAU - Seorang pemilik kedai makan di Taman Meranti di sini, bukan sahaja mengalami kerugian apabila kedainya dipecah masuk, malah terpaksa membersihkan najis dipercayai milik pencuri yang ditinggalkan dalam premis perniagaannya itu, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 33 tahun hanya menyedari kejadian itu apabila membuka kedainya sekitar jam 6 pagi.
“Bagaimanapun, setibanya di kedai, dia ternampak lampu premisnya terbuka. Apabila masuk ke dalam, dia mendapati barang-barang dalam kedainya berselerak.
“Tetapi lebih mengejutkan, ada 'hadiah’ najis dan kencing dipercayai milik pencuri yang ditinggalkan selepas selesai mencuri di kedai tersebut,” katanya selepas mengesahkan kejadian, semalam.
Noorzainy berkata, berdasarkan siasatan, terdapat lubang angin di belakang premis telah terbuka dan polis percaya suspek yang bertubuh kecil masuk ke kedai mangsa melalui lubang tersebut.
“Premis itu tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), bagaimanapun cap jari dipercayai milik suspek berjaya dikesan
“Mangsa mengalami kerugian lebih kurang RM1,200 melibatkan kehilangan telefon bimbit, wang tunai dan beberapa karton rokok.
“Kes ini bagaimanapun masih dalam siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk dalam premis,” katanya.
No comments:
Post a Comment