Wednesday, 27 April 2016
Padah curi wang tabung masjid! LELAKI PARAH DIBELASAH
Padah curi wang tabung masjid
BESUT - Seorang lelaki disyaki cuba mencuri peti tabung Masjid Hadhari Jertih cedera parah dibelasah orang ramai apabila kegiatannya disedari pengawal masjid itu malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu, lelaki berumur 32 tahun beralamat di Kampung Padang Siam, Pasir Putih, Kelantan itu mengalami patah rahang apabila dipukul orang ramai dalam pergelutan tersebut.
Difahamkan sebelum kejadian pengawal keselamatan membuat pemeriksaan di tingkat atas masjid itu untuk memastikan tidak ada orang dalam masjid sebelum pintu masjid dikunci.
Ketika itulah pengawal keselamatan tersebut ternampak suspek sedang mengumpil peti besi yang terletak di bahagian tengah masjid dengan menggunakan besi pembuka tayar kereta.
Difahamkan, ketika pengawal tersebut bersama rakannya cuba menangkap suspek berlaku pergelutan sehingga menarik perhatian orang ramai yang kebetulan datang untuk mendengar ceramah politik di kawasan berdekatan masjid itu.
Akibat pergelutan itu suspek mengalami kecederaan parah di muka akibat dibelasah orang ramai yang cuba memberkasnya.
Dia yang separuh sedar dan terlantar di atas permaidani masjid itu diserahkan kepada polis kemudian dihantar ke Hospital Besut sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Besar Kota Bharu, Kelantan.
Sinar Harian difahamkan perbuatan suspek turut dirakam oleh kamera litar tertutup yang dipasang di dalam masjid itu.
Salah seorang ahli jawatankuasa masjid memberitahu, beberapa hari sebelum kejadian, tabung derma orang ramai di masjid itu telah dipecah oleh pencuri menyebabkan wang derma hilang.
“Pencuri sebelum ini menggunakan taktik memecahkan mangga kunci milik masjid kemudian memasukkan mangga kunci yang mereka bawa dengan tujuan datang semula membuka tabung tersebut beberapa hari kemudian,” katanya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment