Monday, 27 June 2016

Ini pencapaian buat rakyat Sabah - Rahman Dahlan Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/168862




RAHMAN dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

KOTA KINABALU: Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah pencapaian buat rakyat Sabah.
Ini kerana, katanya, ia adalah kali pertama seorang menteri dari Sabah dilantik menerajui Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah JPM.
Bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut menyatakan rasa berbesar hati dan mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menempatkan beliau di bawah EPU.
"Saya menghargai kepercayaan dan keyakinan beliau terhadap saya. Paling utama, saya terharu kerana diberi kepercayaan mengendalikan tanggungjawab penting ini. Hari ini turut menandakan satu lagi pencapaian bagi rakyat Sabah.
"Walaupun sedih meninggalkan KPKT selepas tiga tahun, saya teruja untuk memberi sumbangan terbaik kepada EPU supaya dapat meneruskan kecemerlangan ditinggalkan barisan menteri ekonomi terdahulu.
"EPU berperanan penting membentuk pembangunan sosial dan ekonomi negara, malah fungsinya begitu meluas. Tambahan pula, saya yakin isu ekonomi akan memainkan peranan utama dalam menentukan undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang," katanya menerusi kenyataan, sebentar tadi.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, ini adalah masanya untuk menarik perhatian rakyat Malaysia supaya lebih berminat terhadap isu ekonomi negara menerusi bahasa lebih mesra dan mudah difahami.
"Saya bersedia memulakan pelaksanaan program bagi mendekatkan EPU dengan rakyat, program yang membuatkan EPU lebih difahami dan dihargai masyarakat.
"Institusi penting ini tidak boleh kekal berada dalam genggaman eksklusif pakar ekonomi, ahli perniagaan dan pembuat dasar.
"Kita mesti berusaha keras menjelaskan isu penting menerusi cara lebih mudah dalam usaha merapatkan EPU dengan rakyat.
"Dengan cara ini, saya yakin kita berupaya membantu rakyat dalam cakupan lebih luas bagi memahami cabaran ekonomi yang penuh dinamik.
"Apabila rakyat mula memahami dan menyelami denyut nadi EPU, dengan sendirinya usaha ke arah menggerakkan mereka memanfaatkan dasar dalam menangani cabaran dihadapi negara, menjadi lebih mudah," katanya.

No comments:

Post a Comment