Sunday 10 July 2016

Pendakwaan Guan Eng keadilan setimpal - Khir Toyo

Pendakwaan Guan Eng keadilan setimpal - Khir Toyo




MOHAMAD Khir (kanan) meminta Lim Guan Eng berhenti membandingkan kes mereka. - Foto NSTP
SHAH ALAM: Pendakwaan ke atas Lim Guan Eng membabitkan isu rasuah berhubung pembelian rumahnya disifatkan sebagai keadilan setimpal oleh Dr Mohamad Khir Toyo.
Bekas Menteri Besar Selangor itu turut meminta Ketua Menteri Pulau Pinang itu berhenti membandingkan kes mereka.
Dr Mohamad Khir berkata, kesalahannya adalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu menyalahgunakan kedudukan sebagai penjawat awam bagi mendapatkan barangan berharga, bukan membabitkan rasuah seperti Guan Eng.
"Ketika saya dihukum penjara, DAP menganggapnya sebagai kemenangan besar mereka.
"Justeru, walaupun saya bersimpati dengan nasib Guan Eng, saya fikir kenyataan paling tepat untuk DAP ialah seperti diungkapkan oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan, iaitu 'padan muka'.
"Kes saya tidak sama dengan Guan Eng kerana Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009," katanya menerusi entri dalam akaun rasmi Facebook miliknya, hari ini.
Pada 22 September 2015, panel empat hakim Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Dr Mohamad Khir selepas menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 bulan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 dan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei 2013.
Dia diperintahkan menjalani hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Persekutuan bermula 29 September 2015.
Dr Mohamad Khir disabitkan atas pertuduhan menyalah guna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta untuk dirinya dan isteri pada tahun 2007.
Khamis lalu, Guan Eng yang juga Setiausaha DAP, didakwa atas dua tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Georgetown, dibebaskan dengan jaminan RM1 juta.
Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu, iaitu pembelian banglo di Jalan Pinhorn di bawah harga pasaran dan meluluskan permohonan pengezonan semula dua lot pertanian kepada perumahan di Daerah Barat Daya.

No comments:

Post a Comment