Tuesday, 7 July 2015

[KISAH BENAR] Kisah Tukang Gantung Di Jabatan Penjara Malaysia.

"Hukuman Gantung".

Mendengarnya sudah cukup menggerunkan. Bagaimana pula kalau bertugas sebagai tukang gantung? Bagi Samuel (bukan nama sebenar), sepanjang "tugas khas"nya sebagai tukang gantung hampir 20 tahun, beliau terlibat atau menjalankan sendiri penggantungan 103 orang banduan, lelaki dan wanita termasuk kes-kes berprofil tinggi di Penjara Pudu, Penjara Kajang dan Penjara Taiping. Tugasnya terkini ialah warganegara Nigeria, kira-kira tiga tahun lepas akibat kesalahan dadah.

"Bukan mudah nak mengambil nyawa orang", ujar pegawai penjara berpangkat Timbalan Penguasa yang berusia 48 tahun itu dan telah berkhidmat selama 30 tahun dengan Jabatan Penjara Malaysia. Sepanjang kira-kira dua jam perbualan, Samuel banyak berkongsi pengalaman dan pengetahuannya tentang hukuman gantung serta pelaksanaannya. Beliau adalah generasi ketiga dalam keluarganya bekerja sebagai pegawai penjara kerana ayah dan datuknya juga pernah berkhidmat dengan Jabatan Penjara Malaysia.


Bukan Glamor

Samuel menganggap tugas khas yang dilakukannya hanya sebagai satu tugas dan sudah tentunya bukan "tugas glamor".

"Saya suka tugas yang mencabar. Di dalam penjara ini, ada dua jenis kerja yang mencabar iaitu tukang sebat dan tukang melaksanakan hukuman gantung. Kalau kita boleh buat dua kerja tu, maknanya kita telah sampai ke peringkat akhir, kalau belajar telah sampai ijazah kedoktoran," kata Samuel.

Ada satu sifatnya yang diberitahu yang mungkin memberi kelebihan untuknya menjalankan tugas khas iaitu sejak kecil, dia tidak boleh menangis dan dia dengan mudah boleh mengatasi perasaan sedih. Seperti katanya,"nak buat kerja tugas khas ni, tak boleh ada rasa kasihan dan tak boleh cakap besar."

Pemilihan Rapi

Ramai pegawai penjara yang ingin menjalankan tugas khas ini tetapi prosesnya bukan mudah.
Yang memohon juga hanya mempunyai satu peluang, sekali ditolak, mereka tidak boleh memohon lagi. Menurut Samuel, jika 30 yang memohon dan mencuba, akhirnya yang tinggal mungkin tiga atau empat orang sahaja dan ada kalanya tiada langsung.

"Sebelum dipanggil temuduga, rekod kerja kita akan diteliti, kedudukan kewangan kita juga penting. Nak buat tugas ini, fikiran tak boleh berserabut. Pandai menyimpan rahsia juga amat penting kerana pegawai yang melaksanakan tugas ini ada kalanya mendapat tahu mengenainya seminggu lebih awal," jelas Samuel.

Beliau sendiri diperhalusi "sifu-sifu"nya sebelum dibawa masuk ke bilik gantung.

" Hukuman gantung ini bukan ada tiap-tiap hari. Kadang-kala satu tahun ada satu atau tiga kali sahaja. Masa itulah kita akan dibawa sama untuk berada di dalam bilik gantung. Kalau mereka tengok kita OK, baru mereka akan beri penjelasan lanjut. Kita bukan ada kelas khas, banyak praktikal dan latihan sambil kerja," jelasnya.

Tahun-Tahun Awal

Samuel yang mula menjalankan tugas khas ini semasa beliau di Pulau Jerejak di mana beliau juga menjalankan tugas sebat berkata kesempurnaan kerja bukan boleh dicapai semalaman.
Pada tahun-tahun awal dipilih untuk menjalankan tugas khas ini, beliau hanya sekadar memerhatikan hukuman dijalankan.

"Saya sudah mengikuti pasukan pelaksana hukuman gantung ini dari 1986 lagi tetapi pada masa itu saya cuma memerhatikan. Saya mula terlibat dan menjadi pembantu pada 1989," jelasnya. Sebagai pembantu, beliau akan bersemuka dengan banduan akhir (banduan yang dijatuhi hukuman gantung) dan membawanya keluar dari bilik menanti untuk menjalani hukuman. Banduan yang digari kedua belah tangan ke belakang dan ditutup kepalanya dengan kain "hood" akan dibawa ke bilik gantung. Samuel akan berdiri di belakang banduan akhir dan memegang badannya.

"Biasanya banduan yang akan digantung ini tidak stabil, badannya bergoyang-goyang, jadi kita kena guna tenaga yang banyak untuk membawanya ke bilik gantung," tambah Samuel. Beliau mengakui tidak dapat tidur di tahun-tahun awal menyertai pasukan pelaksana hukuman gantung.

"Diganggu semasa tidur, benda ni biasa berlaku, bukan tak biasa. Ada orang datang minta rokok, saya kata nanti, saya tidur dulu. Ada juga yang kejut saya minta nak balik. Begitu juga kalau masuk ke dalam bilik gantung tu, perasaan tu ada lain sikit, rasa macam ada benda yang lalu. Selepas 10 tahun, pengalaman dah banyak, saya katakan pada diri saya kalau orang dah mati, matilah, macam mana dia nak datang (ganggu lagi)," cerita Samuel.

Beliau juga mengakui antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah menggantung banduan wanita yang disifatkannya lebih "tenang" dan diserang banduan yang agresif.

Kekuatan Mental Dan Fizikal

Bagi mereka yang menjalankan tugas khas ini, kekuatan mental dan fizikal perlu mantap dan kental sepanjang masa. Mereka ini sudah tentunya akan berhadapan dengan tekanan yang amat tinggi terutamanya kerana mahukan kesempurnaan tugas. Bagi Samuel, beliau banyak berbasikal untuk mengekalkan kecergasan. Semasa pelaksanaan hukuman gantung dibacakan kepada banduan hukuman mati, beliau dan pasukannya turut hadir di bilik pengarah. Ketika itulah, mereka akan menilai perangai atau sikap dan tahap penerimaan banduan. Katanya, maklumat ini penting untuk mereka melaksanakan hukuman nanti.

"Kerja mempersiapkan bilik gantung ini memakan masa antara tiga hingga empat jam. Keselamatan dalam bilik gantung dan pemilihan tali gantung yang sesuai adalah di antara tugas yang perlu dibuat dengan teliti," katanya.

Tali Gantung

Tali gantung yang diimport ini diperbuat dari jenis jut yang paling bagus dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan yang akan digantung. Setiap satu berharga di antara RM4,000 satu hingga RM5,000. Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen pembekalnya akan diuji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kilo selama 72 jam. Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri dan ia diklasifikasikan sebagai senjata dan disimpan di dalam peti besi.

"Setiap tali gantung kita terima ada perkiraannya. Kita tak boleh pergi terus dan pasang, ada cara-cara yang kita kena ikut. Kita ada empat jenis tali dan kita pilih mengikut berat banduan," jelas Samuel. Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang berfungsi untuk mematahkan tengkok banduan.

Apabila Rayuan Ditolak

Di Penjara Kajang, banduan yang dijatuhi hukuman gantung dikenali sebagai banduan akhir dan ditempatkan di Blok Abadi sehingga hukuman dilaksanakan. Mereka ini menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian di sel mereka dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas. Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri. Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman dimana di dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad pengenalannya serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi.

Waktu untuk laksanakan hukuman adalah satu jam . Untuk banduan beragama Islam biasanya hukuman gantung akan dijalankan pada hari Jumaat, selepas solat Subuh. Bagi yang bukan Islam pula, waktunya lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza. Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan pengarah penjara yang akan memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak. Biasanya banduan akhir ini akan tahu dia akan digantung bila mana dia dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat. Semasa banduan akhir berada di bilik pengarah ini, kaum keluarganya yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu di luar penjara untuk 'perjumpaan terakhir.' Lazimnya suasana dan pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan terakhir ini. Banduan juga diberi pilihan untuk 'hidangan terakhir' bernilai RM7.50.

Hari Penggantungan

Kebanyakan banduan akhir yang menjalani hukuman gantung dangan rela setelah menunggu begitu lama untuk hukuman dilaksanakan. Mereka yang rajin sembahyang, tak kira agama, menunggu dengan tenang dan sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja yang menjadi agresif sehingga ke saat-saat terakhir. Menurut seorang petugas penjara yang bernama Samuel, 'Ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu saya nasib mereka lebih baik dari saya kerana mereka tahu bila mereka akan mati. Bila kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang salam dengan kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka dah tak tahan lagi menunggu,' katanya.

Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dijalankan, mereka akan meminta pena dan kertas untuk nota terakhir. 'Jangan ikut tabiat buruk ayah'. Itu antara kata-kata terakhir seorang banduan untuk anak-anaknya, yang masih Samuel ingat. Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakainya pada hari hukuman. 'Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai kemeja T dan seluar sembahyangnya. Ada yang memilih kot dan tali leher. Ada yang pakai kasut berharga RM300. Mati penuh gaya . Banduan itu kata dengan jenaka,' cerita Samuel. Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua pihak termasuk pengarah dan doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari hukuman akan dilaksanakan.

Bila Pintu Perangkap Renggang

Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri akan secara automatik renggang sepenuhnya bila 'gear' ditarik. Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian 5.18 meter. Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya memecah kesunyian suasana penjara. Menurut Samuel, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar dari bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah memberi isyarat kepada tukang gantung untuk menarik 'gear' yang akan antaranya membuka pintu perangkap hanya mengambil masa kira-kira 15 saat. Semuanya perlu dibuat dengan lancar dan menurut Samuel, kematian berlaku dalam masa di antara 30 saat hingga satu minit dan banduan akan diturunkan dan diletak di atas troli selepas setengah jam dibiar tergantung.

'Saya sering mengingatkan pembantu-pembantu saya supaya menghormati jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada dia, semuanya tak ada masalah.
'Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka jenazah ini dan letakkan tangan saya di atas dadanya. Ini petua yang diberi oleh bos-bos saya dulu,' kata Samuel.

Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada Samuel. Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka untuk mengelak mereka terjerumus melakukan jenayah.

'Segala-galanya bermula dari keluarga. Kalau keluarga tak kawal, lingkup. Dadah, umpamanya, kalau seorang dalam keluarga jadi penagih, satu keluarga akan terjejas,' katanya sambil menjelaskan bahawa kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan dengan dadah.

No comments:

Post a Comment