Thursday, 2 July 2015

KISAH BENAR: SUAMI CURANG DENGAN TUNANG ORANG


KISAH BENAR: SUAMI CURANG DENGAN TUNANG ORANG


CURANG dengan rakan pejabat, bersekedudukan bawah tangga. Berkali-kali saya mendesak ingin mengikuti suami menghadiri satu program melibatkan famili di tempat kerjanya.

Entah kenapa saya dapat rasakan pelawaan suami minggu lepas sekadar satu pelawaan kosong tanpa maksud.

Meski bibirnya memaklumkan tentang program itu berkaitan famili, lagaknya seakan berharap saya tidak berkeputusan untuk mengikut. Tapi dia silap. Sekali dia mempamerkan sikap teragak-agak, sepuluh kali curiga ini berganda.

Hari berkenaan, saya bersiap cantik-cantik. Pembantu rumah, Nisa dan bayi kecil kami berusia enam bulan juga sudah siap. Kami menunggu di garaj kereta. Suami bangun pagi dan bersiap dengan langkah longlai.

Dua hari lepas, dia balik jam 1 pagi minta saya sediakan nasi. Katanya selesai praktis untuk persembahan dia tak sempat makan malam dan terus balik rumah dalam kelaparan. Sebagai suri rumah dan seorang isteri, saya sediakan makanan secepat mungkin seperti yang dia minta. Saya padamkan letih demi dia.

Kami tiba di pejabatnya jam 6.40 pagi. Jemput rakan sekerja suami bernama Faiz dan kami terus bergerak ke Putrajaya lokasi di mana hari keluarga pejabat suami diadakan. Saya, Nisa dan bayi diam di kerusi belakang. Faiz bersalam dengan saya sambil tersenyum kelat.

“Eh, semua ikut? Maaf kak, Din cakap akak tak ikut.” Hati bertambah curiga tapi salamnya saya sambut juga.

“Din, Suzi dah siap. Kita jemput dia di hotel sebelah restoran tempat kita makan malam semalam.” Selamba ayat itu melurut dari bibir Faiz.

Hati bertambah panas bila mendengar nama Suzi disebut-sebut. Nama perempuan. Tinggal di hotel sebelah restoran tempat makan semalam?

Habis yang dia katakan tidak makan itu apa pula? Saya mula menendang tempat duduk kerusi pemandu dari arah belakang, memberi amaran bahawa hati saya sudah mula hendak panas.

Suami masuk hotel

Sepanjang perjalanan suami kelihatan resah dan sebaik kami tiba di hotel menempatkan wanita itu, tanpa mematikan enjin kereta, suami terus keluar dan meluru ke bilik hotel di tingkat satu yang berbentuk seperti rumah teres setingkat itu.

Alangkah hancur dan berkecai hati saya melihat perilaku suami yang dengan selamba memasuki bilik perempuan yang disebut sebagai Suzi itu.

Nisa memandang saya dengen ekspresi terkejut. Jika dia sebagai orang asing juga berasa curiga, apatah saya sebagai isteri. Saya tertanya-tanya kenapa suami meluru masuk ke bilik hotel kerana bukankah yang dimaksudkan penghuni hotel itu adalah Suzi? Perempuan?

Lima minit menunggu dengan penuh was-was, saya melihat suami keluar pintu diikuti Suzi sambil di tangannya menggalas beg pakaian. Saya jadi hilang sabar.

Entah angin apa yang menyerang saya waktu itu, saya terus keluar dari kereta bertanyakan siapa wanita itu. Faiz cuba meleraikan dengan alasan Suzi adalah teman wanitanya.

“Kenapa Din yang masuk bilik dia?!” Saya menyoal lagi. Intonasi saya tidak terkawal. Saya kerasukan. Suzi menyorok di belakang suami. Dalam hati saya terdetik, ALLAH nak tunjuk. Suami sendiri menunjukkan kebodohan dalam kegelisahannya.

Pagi itu saya mengamuk di hadapan hotel. Saya tarik rambut Suzi, saya tolak, tumbuk dan cakar dada suami. Saya sudah tidak kisah. Peristiwa demi peristiwa terkeluar dari mulut saya.

“Nama yang direkod atas nama Faiz itu siapa?! Setiap malam selama lebih dua bulan ini yang dikatakan pergi praktis program pejabat itu sebenarnya pergi ke mana?!

Praktis dengan siapa?! Tidak balik ke rumah selama beberapa malam itu operasi apa?!” Saya tanyakan semuanya sehingga akhirnya dia tiada jawapan lagi.

Saya menangis, melutut, merintih... Suami menyerah, Suzi menyerah... tapi apa yang saya mahukan lagi? Saya ditipuhidup-hidup.

Mengaku curang

Saya isterinya. Saya percaya pada firasat yang ada dalam hati saya. Dan saya yakin, tidak saya seorang malah semua para isteri di luar sana juga berasakan perkara sama.

Andai suami berselingkuh, isteri pasti mampu menduga, berasa syak wasangka tapi isteri tidak berani menyuarakannya tanpa bukti di hadapan mata.

Namun percayalah sahabat wanita, ALLAH itu ada... ALLAH kan selalu ada... 

Suami yang selingkuh pasti terperangkap dalam permainannya sendiri suatu masa nanti dan seperti mana yang berlaku terhadap suami saya dan perempuan itu, tembelang mereka pecah jua.

Terlalu pedih hati ini untuk menerima kekhilafan mereka. Saya tanya suami semenjak bila? Suzi rupa-rupanya seorang pelatih di pejabatnya sejak enam bulan lalu. Baru berusia 22 tahun dan tidak biasa tinggal di Kuala Lumpur. Hubungan mereka terjalin sejak hari kedua Suzi bekerja.

“Abang minta maaf. Abang cuma niat nak tolong Suzi tapi ...” Suami memeluk. Saya menolak kasar. Nisa dan anak sudah saya arahkan menunggu di dalam kereta. Hari itu juga saya akan berlalu dari hidup suami yang tak kenal hati budi.

“Abang ada isteri, tapi selingkuh dengan tunang orang? Apa yang abang dan perempuan tu dah buat? Sampai tahap mana?” Saya jijik menyebut nama Suzi. Meski pun jawapan suami bakal menghiris hati ini, saya tidak tahu kenapa saya tanyakan juga.

“Sumpah kami tak buat apa-apa..

“Jangan bersumpah! Saya dah paksa Suzi terus-terang. Saya bukan perempuan bodoh nak terima abang yang buat maksiat dalam tandas pejabat. Bawah tangga pejabat?! Apa tu?!” Air mata mengalir laju.

Kalau suami terlihat hina, saya berasakan lebih lagi. Tidak mahu terus menjerut hati, saya ambil keputusan keluar dari rumah dan akan memfailkan penceraian.

Sehingga hari ini, saya belum mampu menceritakan sebab sebenar rumah tangga saya hancur di tengah jalan kepada keluarga saya mahu pun mertua. Hati kekal terluka

No comments:

Post a Comment