Friday, 16 October 2015

Lelaki 61 Tahun Ditahan Disyaki ROGOL ‘OKU’

Berita Sabah

Seorang warga emas ditahan selepas disyaki merogol seorang wanita orang kurang upaya (OKU) sehingga menyebabkan mangsa mengandung.
Ketua Polis daerah, Superintenden Hamzah Alias berkata, lelaki berusia 61 tahun itu ditahan selepas ibu saudara mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Mati di Ledang, Johor kira-kira pukul 12.45 tengah hari Isnin lalu.
“Ibu saudaranya menyedari per­ubahan wanita OKU berusia 31 tahun itu ketika mangsa bercuti di rumahnya di Johor. Apabila mang­sa dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Mati, doktor mengesahkan mangsa telah mengandung dua bulan.
“Pengadu bertanyakan kepada anak saudaranya tentang hal tersebut dan mangsa memberitahu dia telah dirogol oleh seorang lelaki yang dikenalinya di kawasan kebun kelapa sawit Felda Palong Dua di sini,” katanya.
Menurut Hamzah, polis menahan suspek yang juga rakan kepada bapa mangsa di Felda Palong Sembilan kira-kira pukul 1.45 petang kelmarin.
Katanya, suspek direman bermula semalam sehingga 5 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Tambahnya, hasil siasatan lanjut mendapati ibu saudara mangsa pernah membuat laporan polis pada tahun 2012 kerana mengesyaki mang­sa dirogol oleh suspek yang sama.
“Memandangkan ketika itu tiada keterangan kukuh, suspek dibebaskan dengan amaran keras,” katanya.


No comments:

Post a Comment