Sunday, 11 October 2015
Norieen Tidak Boleh Tidur Lena Teringat Rakannya - Ibu
Keadaan Norieen Yaakob, 10, murid perempuan Sekolah Kebangsaan Tohoi yang hilang selama 47 hari di hutan kelihatan lebih stabil, selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
KOTA BAHARU: Seorang kanak-kanak Orang Asli, NorieenYaakob yang kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) di sini, memberitahu ibunya dia tidak dapat tidur nyenyak kerana terbayang rakan-rakannyayang meninggal dunia ketika mereka hilang di Pos Tohoi, Gua Musang sejak Ogos lepas.
Ibunya Midah Angah, 40, berkata Norieen, 10, memberitahu dia masih takut dan trauma dengan bau busuk mayat rakannya.
"Anak saya beritahu setiap malam dia bermimpi nampak mayat dua rakannya,Juvina dan Ika yang (didakwanya) mati di depannya.
"Malam tadi, semasa dia tidur, air matanya jatuh," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, Ahad.
Norieen dan seorang lagi rakannya Mirsudiar Aluj, 11, ditemui selamat ditebing Sungai Perias, Pos Tohoi, pada Jumaat lepas namun tidak bermaya kerana dehidrasi dan kini dirawat di hospital itu.
Midah berkata anaknya itu semakin pulih dan meminta untuk makan nasi dan ayam goreng tetapi pihak hospital memberinya makanan lembut seperti bubur.
Beliau masih menaruh harapan agar seorang lagi anaknya Haikal, 8, akan dapat dijumpai oleh anggota pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR).
Sementara itu, bapa saudara Mirsudiar, Akid Baher, 46, berkata anak saudaranya itu kini sudah mula bercakap dan semakin berselera ketika waktu makan berbanding mula dimasukkan ke hospital itu pada Jumaat.
"Hari ni perkembangannya semakin sihat dan kami ada suapkan bubur dan bagi air suam...dia makan habis dan semakin berselera.
"Dia ada minta mahu makan ayam, nak tengok televisyen dan dengar lagu tapi dia tidak banyak bercakap," katanya.
Akid berkata anak saudaranya itu masih belum menceritakan mengenai kejadian dia dan enam rakannya hilang dalam hutan di Pos Tohoi, Gua Musang kerana masih trauma.
"Mirsudiar masih tidak bercakap banyak mungkin masih lagi letih...cuma dia ada minta untuk pulang ke kampung kerana rindu bertemu keluarga dan rakan-rakannya," katanya.
Tujuh murid Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang itu dilapor melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos lepas kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas didapati mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.
Tujuh murid terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie,8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11; -berasal dari Kampung Gawin dan Penad.
Polis telah mengesahkan Sasa dan Ika meninggal dunia manakala dua rangka kanak-kanak yang ditemui belum dikenal pasti melalui ujian DNA manakala satu lagi masih hilang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment