Monday, 29 June 2015

woww punya cantikk!! Bagi anda yang kaki melancong, inilah "Syurga" yang patut anda lawati..




1) Aogashima, Japan




2) Detian Waterfall,Guangxi China



3) Galapagos Islands, Ecuador



4) Halong Bay, Vietnam



5) Havasu Falls di Arizona


6) Inga Falls, Congo River, Africa



7) Kelimutu volcano in central Flores, Indonesia



8) Lakes National Park,Lika, Kroasia



9) Lencois Sand Dunes, Brazil



10) Longji rice terraces in China



11) Lu Mountain, China



12) Mount Roraima, venezuela



13) Niagara Waterfall,North America



14) Raja Ampat,Papua,Indonesian



15) Salt lake of uyuni Bolivia



16) Vacation in Bora Bora Island, Tahiti



17) Velassaru Island, Maldives


18) hitehaven Beach, Australia


19) YingXi Corridor of Stone Peaks, China




Tuesday, 23 June 2015

Terkini..Gempa Kecil Landa Ranau

Gempa bumi


KUALA LUMPUR - Satu lagi gempa bumi kecil, berukuran 4.3 pada skala Richter, melanda Ranau di Sabah pada 5.33 petang ini, menurut Jabatan Meteorologi.
   
Dalam satu kenyataan, jabatan itu menjelaskan pusat gempa terletak 10km ke barat laut bandar Ranau.
   
Gegaran daripada gempa itu dirasakan di Kota Kinabalu, Kota Belud dan Kundasang, ujarnya.
   
Ini kali kedua gempa kecil itu melanda Ranau sejak pagi ini. Yang Pertama berukuran 3.5 pada skala Richter berlaku pada 10.54 pagi.
   
Gempa dengan kekuatan 5.9 pada skala Richter menggegarkan Ranau pada 5 Jun, mengorbankan 18 nyawa.  - Bernama

Komposer Titanic maut nahas pesawat

James Horner 

KOMPOSER runut bunyi filem terkenal Titanic, James Horner, 61,  maut dalam nahas pesawat di California Selatan.

Menurut laporan, pesawat satu enjin milik pemuzik yang berusia 61 tahun ini terhempas pagi semalam dekat Quatal Canyon di Los Padres National Forest, kira-kira 100 kilometer dari Los Angeles.

Pihak berkuasa tempatan berkata, juruterbang pesawat malang yang dipercayai dikendalikan James terbunuh dan tiada penumpang lain di dalam pesawat tersebut.

Peguam komposer, Jay Cooper berkata, pesawat tersebut kepunyaan James dan tiada sebarang maklumat diterima daripadanya sejak insiden tersebut.

"Pesawat itu adalah miliknya, dan jika bukan dia di dalam pesawat, pasti dia akan telefon," katanya dipetik Metro.uk

James adalah seorang  komposer prolifik dan mencipta beberapa runut bunyi untuk filem-filem terkenal termasuk Avatar, Troy,How The Grinch Stole Christmas, A Beautiful Mind, Aliens, Braveheart, Apollo 13 dan juga beberapa filem Star Trek.

Bagaimanapun, karya James yang paling mendapat perhatian ialah runut bunyi  filem Titanic, My Heart Will Go On malah pernah memenangi Anugerah Oscar untuk Skor Muzik Asli dan Muzik Asli Terbaik.

Monday, 22 June 2015

Mengamuk sebab dirakam langgar lampu merah

Mengamuk sebab dirakam langgar lampu merah

SOUTH BANK - ENGLAND . Seorang pemandu bas mengamuk, membelasah dan mencekik seorang pelajar selepas tindakannya melanggar lampu merah dirakam wanita tersebut, minggu lepas.

Laporan Metro UK mengatakan, melalui sebuah video yang dirakam orang awam, pemandu bas tersebut melarikan diri selepas pelajar tersebut pengsan.

Seorang saksi memberitahu, pemandu bas tersebut berlagak seperti seorang 'peninju' dan mula bertengkar dengan orang ramai yang mahu menghentikan kejadian tersebut.

Semalam, syarikat bas tersebut, Golden Tours kemudian mengumumkan pemandu tersebut dipecat serta-merta.

"Kami sedia maklum dengan kejadian berkenaan dan pemandu tersebut sudah dipecat," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pihak berkuasa masih menyiasat kejadian tersebut dan belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Exco: Guru tidak arah murid minum air kencing



Tajul Urus Mat Zain

ALOR SETAR - Exco Pendidikan Negeri Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain hari ini menafikan dakwaan bahawa seorang guru penolong kanan di sebuah sekolah rendah di Kedah telah menyuruh anak murid bukan Islam untuk meminum air kencing sendiri.
  
Menurutnya, kenyataan oleh guru berkenaan bukan seperti yang telah dilaporkan dalam surat yang ditulis oleh waris murid bukan Islam yang telah diviralkan dalam media sosial.
  
"Ini semua berpunca dari satu surat layang yang ditulis seorang waris murid bukan Islam kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda menyatakan guru dari sebuah sekolah di Sungai Petani mengarahkan pelajar bukan Islam supaya minum air paip atau air kencing sendiri di tandas sekolah pada bulan Ramadan ini pada perhimpunan sekolah pagi semalam.
  
"Kita percaya kenyataan tersebut telah disalah erti oleh murid-murid. Guru tersebut ingin meminta supaya pelajar bukan Islam menghormati pelajar Islam supaya tidak minum di hadapan mereka sebaliknya pergi ke tandas untuk minum," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
  
Tajul Urus berkata, ibu bapa sepatutnya pergi ke sekolah untuk mendapatkan penjelasan daripada guru tersebut terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan yang melulu tanpa usul periksa yang boleh menyentuh isu sensitif yang bersifat perkauman.

Katanya, mereka sepatutnya mendapatkan penjelasan dahulu sebelum mengambil tindakan terburu-buru yang akhirnya telah menyebabkan guru berkenaan menerima ugutan dan terpaksa membuat laporan polis hari ini.
  
"Saya anggap isu ini telah selesai dan sekiranya ada pihak waris murid yang masih tidak berpuas hati mereka boleh datang berjumpa dengan saya untuk diberi penjelasan yang lebih jelas berkaitan perkara ini," katanya.
  
Dalam masa sama, Tajul Urus mengingatkan supaya semua pihak berhati-hati semasa bercakap atau bergurau kerana takut ia disalah erti sehingga ia boleh diviralkan ditambah dengan penggunaan media sosial yang semakin meluas. - Bernama
 

13 penjenayah terlibat dalam rompakan kapal



Orkim Harmony

PUTRAJAYA - Risikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mendapati 13 penjenayah terlibat dalam rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata lima daripada mereka beredar menggunakan bot tunda yang digunakan untuk merapati kapal, manakala lapan lagi menaiki kapal tangki tersebut.

Beliau berkata pihak berkuasa Indonesia memaklumkan bot tunda yang dipercayai digunakan suspek untuk merompak kapal MT Orkim Harmony ditemui di Batam dua hari lepas.

"Kita telah berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia berkenaan pencarian baki lima penjenayah itu," katanya pada sidang media mengenai perkembangan kapal tangki MT Orkim Harmony di sini hari ini.

Lapan suspek kes kapal tangki membawa 6,000 tan metrik petrol RON95 bernilai RM21 juta itu ditahan pihak berkuasa Vietnam pada Jumaat lepas berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam.

Ahmad Puzi dalam kenyataannya semalam berkata pihak berkuasa Vietnam telah mengesahkan bahawa lapan suspek berkenaan mengaku terlibat dalam rompakan MT Orkim Harmony dan Maritim sudah memulakan proses ekstradisi lapan suspek itu.

Mengenai lapan suspek itu, Ahmad Puzi berkata siasatan pihak berkuasa Vietnam menunjukkan mereka berpengalaman dalam melakukan rompakan di laut selain mahir dalam pengendalian kapal.

Beliau berkata pelbagai alatan perhubungan, antaranya alat komunikasi satelit turut ditemui semasa ditahan, menunjukkan mereka merupakan 'perompak profesional' yang mempunyai rangkaian yang luas.

"Siasatan Maritim ke atas anak kapal yang diselamatkan juga mendapati suspek yang dikenali sebagai 'Ruslan', yang dipercayai ketua kepada penjenayah itu sering membuat panggilan dan bercakap menggunakan bahasa Inggeris.

"Kenyataan anak kapal memberi maklumat, rumusan dapat dibuat apa sebenarnya yang berlaku di atas kapal itu," katanya, serta menambah soal siasat ke atas 22 anak kapal telah selesai dijalankan.

Berhubung usaha membawa lapan suspek tersebut ke Malaysia, Ahmad Puzi berkata proses itu akan mengambil sedikit masa kerana melibatkan negara lain tetapi beliau percaya hubungan yang rapat antara negara Asean memungkinkan proses ekstradisi itu akan dapat dipermudah.

Dalam pada itu, beliau berkata Maritim bercadang menempatkan anggota pasukan khas atau Special Task and Rescue Team (Star) secara rambang di atas kapal komersial yang berdaftar di negara ini bagi meningkatkan keselamatan kapal di masa hadapan.

Kapal tangki MT Orkim Harmony yang dirompak pada 11 Jun lepas, berlabuh di Pelabuhan Kuantan pada pukul 7.30 pagi Sabtu lepas, lewat lima jam daripada waktu ia dijadualkan tiba berikutan mengalami masalah enjin. - Bernama
 

Sunday, 21 June 2015

Akui kesilapan: Nad Zainal jaga hati si dia

Akui kesilapan: Nad Zainal jaga hati si dia

BEBERAPA hari lalu, nama pelakon genit, Nad Zainal sekali lagi menjadi perhatian masyarakat gara-gara foto mesra bersama seorang jejaka dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya.

Kewujudan foto itu mengundang pelbagai kritikan dan persepsi negatif daripada peminatnya membuatkan pelakon Kampung Girl ini akhirnya membuat keputusan memadam gambar tersebut.

Sempat bertemunya baru-baru ini, Nad mengakui kesilapannya memuat naik gambar berkenaan dan menjelaskan hubungannya bersama jejaka itu hanyalah sebagai teman lama ketika masih menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Saya mengaku ia satu kesilapan daripada saya sendiri dan memadam gambar tersebut adalah langkah yang paling tepat.

“Pada awalnya saya memang tidak menyangka gambar itu mengundang pelbagai komen negatif dan saya memang rasa bersalah dan kasihan padanya.

“Bila saya sudah padam, orang lain tidak boleh berkata apa-apa lagi dan sebagai seorang kawan, saya perlu melindungi dia dan tidak mahu apa yang berlaku ini menjejaskan persahabatan kami.

“Dia tahu saya memuat naik gambar dan akui tidak kisah dengan perkara ini, tapi saya tahu dia hanya mahu menjaga hati saya,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media Santai Lebaran Fiesta 2015, di Istana Budaya baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Nad enggan mengesahkan sebarang status mengenai hubungannya bersama lelaki yang merupakan seorang kru di belakang tabir produksi itu kerana menganggap ia terlalu awal.

“Dia teman lama saya dan baru-baru ini kami baru bertemu semula. Buat masa ini saya tidak boleh mengesahkan sebarang hubungan dengannya.

“Terlalu awal untuk itu dan kita tidak tahu apa yang akan berlaku kemudian hari.

“Biarlah dahulu, nanti kalau sudah pasti saya akan maklumkan mengenainya,” ujarnya panjang lebar.

Giat berniaga

Bercerita mengenai perkembangannya sepanjang menjalani Ramadan, Nad memberitahu tahun ini fokusnya lebih kepada bidang perniagaan.

Menurutnya, dia akan terlibat dengan jualan di bazar di Shah Alam dan di laman santai Istana Budaya sempena Santai Lebaran Fiesta 2015 yang akan berlangsung pada 25 Jun sehingga 16 Julai ini.

“Kalau tahun lalu, saya banyak terlibat dengan aktiviti seni, jadi tahun ini saya cuba untuk fokus kepada perniagaan.

“Memang teruja sebab ini kali pertama saya lakukannya. Di gerai saya nanti, saya akan menjual beberapa produk seperti tudung, baju kurung, kuih raya dan juga paling istimewa adalah sambal kering yang memang dijamin sedap.

“Sepanjang bazar itu dijalankan, kalau tidak ada apa-apa yang penting,  saya memang akan berada di gerai,” katanya teruja.

Selain Nad, selebriti lain yang akan turut menjayakan Santai Lebaran Fiesta 2015 di bazar masing-masing antaranya Sherry Alhadad, Erra Fazira, Shuib (Sepahtu) dan Puteri Balqis.

Perjalanan masih jauh

Sering diberi peluang memegang watak wanita bertudung, Nad turut mengakui peluang tersebut menjadi batu loncatan buat dirinya.

“Alhamdulillah, sudah dua tahun saya dilantik sebagai duta tudung berjenama Miss Wiss Wardobe.

“Walaupun kami tidak terikat dengan kontrak dan hanya bercakap secara lisan, tapi saya akui ia banyak membantu dan boleh dikatakan ianya situasi menang-menang,” katanya.

Di tanya sama ada dirinya bakal mengekalkan imej bertudung, Nad bagaimanapun akui banyak perkara yang perlu diperbaikinya terlebih dahulu.

“Insya-ALLAH satu hari nanti saya akan berubah tapi buat masa ini secara jujurnya perjalanan saya masih jauh.

“Banyak lagi perkara yang perlu saya jalani,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.

Dalam perkembangan lain, Nad bakal muncul menerusi dua buah telefilem berjudul Rumah Kecil Untuk Tuhan dan Dia Ibuku sempena Aidilfitri yang akan menjelang tiba tidak lama lagi.

Pesawat SIA mendarat cemas di KLIA

PUTRAJAYA: Pesawat Singapore Airlines (SIA) SQ425 terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, petang tadi selepas mengalami masalah teknikal.
Jurucakap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyatakan pesawat itu berlepas dari Mumbai, India pada jam 8.44 pagi dan sepatutnya tiba di Singapura pada jam 4.44 petang.
"Pesawat itu mengalami masalah teknikal dan terpaksa mendarat di KLIA pada jam 4 petang.
"Bagaimanapun pesawat jenis Boeing 777-200 bersama penumpang itu mendarat dengan selamat dan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, punca masalah pesawat itu sedang disiasat SIA dan segala urusan berhubung penerbangan seterusnya akan diuruskan syarikat penerbangan berkenaan
.

Tukang masak Orkim Harmony keluar hospital Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/62659



KOTA BHARU: Kru kapal MT Orkim Harmony yang cedera ditembak di paha kanan, dibenarkan keluar selepas dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) jam 12.30 tengah hari tadi.
Mangsa warga Indonesia, Mawit Martin, 46, yang juga tukang masak di kapal terbabit, diiringi keluar bersama anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menaiki sebuah van.
Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) daerah 10 Kelantan, Kapten Nurul Hizam Zakaria, berkata mangsa kini dibawa anggota APMM ke Kuantan bagi membantu siasatan ke atas kes berkenaan.
Mawit yang ditemani abangnya Marsuki Mohamad Rito, 63, dilihat keluar dari hospital berkenaan dan terus dibawa menaiki van oleh anggota APMM.
Pemberita tidak dibenarkan menemuramah mangsa.
Mawit cedera di paha kiri akibat ditembak lanun ketika dikatakan cuba melawan seorang daripada perampas kapal itu.
Sementara itu, Marsuki berkata, dia berharap adiknya itu dapat segera pulang ke Indonesia.
"Apa yang penting dia selamat, kami sekeluarga bersyukur kecederaannya tidak serius," katanya.
Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam 11 Jun lalu ketika dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Kapal milik Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.
Operasi menyelamat kapal itu yang dirampas lapan orang lanun yang bersenjatakan pistol dan parang berakhir dengan semua anak kapal dibebaskan kira-kira jam 2.30 pagi Jumaat.
Kapal itu selamat tiba di Pelabuhan Kuantan kira-kira pukul 7.50 pagi semalam di Dermaga PETRONAS.
Lapan lelaki yang dipercayai perampas kapal itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam ketika cuba meloloskan diri daripada pemburuan pada jam 6.30 pagi Jumaat.