Thursday, 11 June 2015

Masalah dalaman hampir jejas konsert XPDC

Masalah dalaman hampir jejas konsert XPDC

SEJAK menguar-uarkan Konsert Rockestra XPDC: Aku Masih Disini pada akhir Mei lalu, kebanyakan peminat teruja untuk menyaksikan persembahan kumpulan
rock/heavy metal ini.

Lebih membanggakan, penganjuran konsert ini juga dibuat sempena menyambut menyambut ulang tahun XPDC ke-26 sejak ia mula ditubuhkan pada 1989.

Namun keterujaan lebih 2,000 peminat dari Semenanjung Malaysia dan juga Sabah serta Sarawak yang hadir di Stadium Merdeka, Sabtu lalu hampir terjejas.

Masakan tidak, konsert yang dijanjikan bermula jam 9 malam, hanya dimulakan dengan kemunculan seorang demi seorang ahli kumpulan itu bermula dengan Lola (pemain drum), Arif yang juga anak kepada Izo (gitaris), kemudian disusuli Eddie (bes) dan akhir sekali Izo (gitaris).

Bagaimanapun kelibat yang paling dinanti, Mael (vokalis) tidak kelihatan. Biarpun dilihat gimik apabila empat ahli kumpulan memulakan persembahan pembukaan di atas pentas diiringi kumpulan orkestra, yang sekali gus memberi kelainan pada konsert rock itu.

Namun konsert yang kembali terhenti lebih setengah jam mengundang resah peminat sehingga berkali-kali memanggil nama Mael.

Lebih mengelirukan apabila penganjur memainkan lagu iringan bagi mengisi kekosongan tersebut dan tidak lama kemudian, muncul seorang penyanyi yang tidak dikenali untuk menyanyikan lagu Hidup Bersama.

Biarpun kemunculan itu memberi tanda tanya kepada peminat, mengapakah Mael lewat muncul? Namun mereka tetap bersama melayan penyanyi itu.

Dan akhirnya, Mael hanya muncul pada jam 10 malam dan memohon maaf serta memberi alasan ada masalah di belakang pentas yang menyebabkan kelewatannya.

“Semua tak balik lagi kan?
Maafkan saya, ada sedikit kekecohan di belakang (pentas) tadi,” katanya sebelum memulakan persembahan dengan lagu Hamba Abdi.

Seterusnya XPDC meneruskan persembahan dengan lagu Puing Cinta dan medley Penyakit Gatal dan Jangan Tak Mandi, sekali gus Hampir jejas kemeriahan  konsert XPDC menaikkan adrenalin peminat untuk sama-sama berhibur pada konsert tersebut.

Ternyata, XPDC masih berbisa ketika menyampaikan lagu yang hits bagi kumpulan itu antaranya Aku Masih Di Sini, Hijau Bumi Tuhan dan Raja Kertas.
Mael berhenti lagi dan sempat berinteraksi dengan penonton apabila dia mula duduk seketika dan menyatakan staminanya sedikit berkurang.

“Dah otai ini, stamina terjejas. Saya juga memohon maaf di atas kelewatan dan sebenarnya, konsert malam ini pada saat akhir hampir dibatalkan.

“Tetapi kerana peminat kami semua, konsert malam ini mesti dijayakan juga dan terharu peminat masih setia menanti walaupun lewat," katanya.

Kemudian tumpuan penonton kembali ke atas pentas dan lebih bersemangat apabila XPDC meneruskan persembahan dengan lagu Nafisa, Ajaib, Hidup Bersama dan Metalica.

Gegaran jantung penonton bertambah hebat apabila Lola memainkan drum solo selama 15 minit yang mendapat sorakan penonton dan anggukan kepala melayani muzik dimainkan.
Namun kehangatan persembahan kembali terganggu apabila konsert tersebut terhenti selama setengah jam sehingga mengundang resah penonton.

Hanya pada 11.40 malam, Mael muncul semula dan kembali menyanyikan lagu rock mereka bertajuk Bahlol dan medley Aku Dan Sesuatu, Hentian Ini dan Titian Perjalanan.

Sebelum menamatkan konsert dengan lagu Apa Lagi Nak Dikata, Mael sempat memohon maaf sekali lagi.

“Saya minta maaf, kerana ada masalah teknikal di belakang pentas yang perlu untuk saya uruskan tadi. “Saya juga kecewa apabila tidak dapat menyanyikan 26 lagu seperti yang dirancang kerana permit stadium ini sehingga jam 12 malam sahaja.

“Jika tidak, saya mahu hiburkan anda semua walaupun sehingga pagi,” katanya.

Secara keseluruhan, persembahan yang ditampilkan XPDC memang masih berbisa biarpun pada asalnya mereka menjanjikan untuk membawakan 26 lagu dan ia sedikit sebanyak mengecewakan peminat yang datang dari jauh.

Sebagai salah sebuah kumpulan otai di dalam industri, masalah semasa konsert besar seperti ini tentu sekali tidak sepatutnya berlaku.

Ini kerana secara keseluruhan, Konsert Rockestra XPDC: Aku Masih Disini, tertangguh hampir sejam setengah.

Ia secara tidak langsung menimbulkan banyak persoalan, apakah yang sebenarnya terjadi di belakang pentas sehingga menyebabkan Mael muncul lewat sejam daripada yang dijanjikan.

Wakil penganjur DuaLaris Event, Mahmud Abu Bakar tampil bersama ahli XPDC kecuali Mael pada sidang media selepas konsert berlangsung berkali-kali memohon maaf atas masalah yang berlaku.

Tidak menafikan terdapat beberapa masalah yang berlaku di belakang pentas, Mahmud berkata, berita pemergian abang kandung Mael pada petang sebelum konsert berlangsung sedikit sebanyak menjejaskan mood vokalis kumpulan itu.

“Ia bermula apabila keadaan Mael sendiri tidak menentu setelah abang kandung Mael baru meninggal dunia hari ini (petang sebelum konsert).

“Jadi masalah itu menghantui dirinya dan mungkin juga rakan sekeliling provokasi dirinya menyebabkan keadaan Mael bertambah panas,” katanya ketika sidang media selepas konsert berakhir.

Namun ditebak mengenai isu bayaran yang dikatakan turut menjadi punca konsert tersebut tertangguh beberapa kali, Mahmud berkata: "Sebenarnya isu bayaran memang tidak kena mengena kerana kita telah berjanji sebelum dan selepas persembahan baru penganjur lunaskan.

“Tetapi lain pula berlaku apabila dia (Mael) tuntut bayaran penuh sebelum naik pentas. Tetapi dengan keadaan dirinya itu, pihak penganjur bertegas mahu buat bayaran selepas persembahan,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, Mahmud juga tidak menafikan persembahan yang tertangguh setengah jam sebelum konsert berakhir juga berpunca daripada isu bayaran.

“Mael persoalkan kembali mengenai bayarannya, tetapi kami sarankan untuk dia habiskan dahulu persembahannya,” katanya.


Cadang vokalis gantian

Kesal dengan permasalahan yang berlaku pada malam penting tersebut, Mahmud berkata, penganjur pada awalnya mencadangkan menyediakan penyanyi gantian sekiranya berlaku masalah, namun ditolak Mael.

“Kami cadangkan nama seperti Ali (bekas vokalis XPDC) sebagai penyanyi gantian dan turut mencadangkan untuk menjemput beberapa penyanyi undangan, namun semua ditolak Mael.

"Jadi kami turuti kerana kami yakin dia mampu memberikan persembahan yang baik.

"Tapi kami tidak menyalahkan Malel dengan apa yang berlaku pada malam ini," katanya.


Permohonan XPDC

Sementara itu bagi pihak XPDC pula, Eddie memberitahu, masalah yang berlaku tidak boleh sepenuhnya ditujukan kepada XPDC sahaja.

“Sebenarnya kami dah buat persediaan lama, tak boleh salahkan XPDC sepenuhnya kerana kami juga beri komitmen. Jadi kami juga ternanti apa dijanjikan.

“Seperti yang dijanjikan kami mintalah (segala dijanjikan penganjur),” katanya.

Eddie juga tidak menafikan Mael mempunyai masalah peribadi sendiri dan apabila mendapat khabar berita yang menyedihkan itu pastinya mood Mael terganggu.

“Apabila dapat berita abang kesayangan yang dia jaga sendiri kerana memang sakit tenat selama ini meninggal dunia, dia jadi kacau-bilau.

“Sebenarnya, Mael sudah separuh jalan untuk kembali ke rumahnya, namun berpatah balik memikirkan konsert ini.

“Mael memang nak buat persembahan, tetapi mood dia dah jadi lain. Kita ambil masa nak pujuk, agar dia tenang dan akhirnya dia naik pentas untuk buat persembahan,” katanya walaupun kecewa tidak banyak lagu dinyanyikan malam itu.

Berkongsi mengenai persediaan mereka, Eddie berkata, memang mereka sudah bersedia dengan lebih 26 lagu akan dijayakan pada malam itu.

“Kami dah latih lebih 26 lagu dan Mael juga beri komitmen terbaik sepanjang latihan. Tetapi bukan kita rancang ada konsert besar ini, ada pula kematian yang pastinya mengganggu sedikit perjalanan konsert,” katanya.

Manakala, pemain gitar yang tetap setia dengan XPDC sejak ditubuhkan, Izo juga menyatakan kekecewaannya kerana tidak dapat memberikan terbaik pada malam itu.

“Saya memang rasa kecewa, nak bagi yang terbaik tetapi tidak berjaya. Saya minta maaf banyak-banyak,” katanya.

No comments:

Post a Comment