Monday, 8 June 2015

Geng samun 7 Eleven tumpas

PDRM

ALOR SETAR - Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita di sekitar Pendang yang disyaki terlibat dalam aktiviti samun kedai serbaneka 24 jam 7 Eleven, di beberapa daerah di Kedah dan Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah Asisten Komisioner, Mohd Nashir Ya berkata, kesemua suspek ditahan oleh sepasukan anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang antara 5 Jun jam  3.30 pagi dan 6 Jun jam 11.30 malam.
    
Mereka berusia lingkungan 15 hingga 22 tahun.
    
Keenam-enam suspek yang berasal dari Pendang tidak bekerja dan tidak bersekolah, manakala seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampaumelibatkan penyalahgunaan dadah, katanya menerusi kenyataan hari ini.
    
Beliau berkata berikutan penahanan itu, polis merampas beberapa barang kes yang digunakan dalam kejadian samun antaranya sepucuk pistol tiruan berwarna hitam, sebuah kereta Perodua Kancil, sebilah parang berhulu besi dan dua nombor plat kereta.
    
"Modus operandi kumpulan ini menggunakan pistol dan parang semasa melakukan samun dan harta benda yang disasarkan adalah wang tunai dan rokok," kata Mohd Nashir.
    
Beliau berkata, polis percaya dengan tertangkapnya kumpulan itu, beberapa kes samun di kedai 7 Eleven iaitu dua kes di Kota Setar, dan masing-masing satu di Sungai Petani, Kuala Ketil, Pendang dan Timur Laut Pulau Pinang dapat diselesaikan.
    
Katanya, kesemua suspek ditahan reman bermula semalam sehingga 12 Jun ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan samun berkumpulan. - Bernama

No comments:

Post a Comment