Sunday, 21 June 2015
Akui kesilapan: Nad Zainal jaga hati si dia
BEBERAPA hari lalu, nama pelakon genit, Nad Zainal sekali lagi menjadi perhatian masyarakat gara-gara foto mesra bersama seorang jejaka dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya.
Kewujudan foto itu mengundang pelbagai kritikan dan persepsi negatif daripada peminatnya membuatkan pelakon Kampung Girl ini akhirnya membuat keputusan memadam gambar tersebut.
Sempat bertemunya baru-baru ini, Nad mengakui kesilapannya memuat naik gambar berkenaan dan menjelaskan hubungannya bersama jejaka itu hanyalah sebagai teman lama ketika masih menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
“Saya mengaku ia satu kesilapan daripada saya sendiri dan memadam gambar tersebut adalah langkah yang paling tepat.
“Pada awalnya saya memang tidak menyangka gambar itu mengundang pelbagai komen negatif dan saya memang rasa bersalah dan kasihan padanya.
“Bila saya sudah padam, orang lain tidak boleh berkata apa-apa lagi dan sebagai seorang kawan, saya perlu melindungi dia dan tidak mahu apa yang berlaku ini menjejaskan persahabatan kami.
“Dia tahu saya memuat naik gambar dan akui tidak kisah dengan perkara ini, tapi saya tahu dia hanya mahu menjaga hati saya,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media Santai Lebaran Fiesta 2015, di Istana Budaya baru-baru ini.
Pada masa yang sama, Nad enggan mengesahkan sebarang status mengenai hubungannya bersama lelaki yang merupakan seorang kru di belakang tabir produksi itu kerana menganggap ia terlalu awal.
“Dia teman lama saya dan baru-baru ini kami baru bertemu semula. Buat masa ini saya tidak boleh mengesahkan sebarang hubungan dengannya.
“Terlalu awal untuk itu dan kita tidak tahu apa yang akan berlaku kemudian hari.
“Biarlah dahulu, nanti kalau sudah pasti saya akan maklumkan mengenainya,” ujarnya panjang lebar.
Giat berniaga
Bercerita mengenai perkembangannya sepanjang menjalani Ramadan, Nad memberitahu tahun ini fokusnya lebih kepada bidang perniagaan.
Menurutnya, dia akan terlibat dengan jualan di bazar di Shah Alam dan di laman santai Istana Budaya sempena Santai Lebaran Fiesta 2015 yang akan berlangsung pada 25 Jun sehingga 16 Julai ini.
“Kalau tahun lalu, saya banyak terlibat dengan aktiviti seni, jadi tahun ini saya cuba untuk fokus kepada perniagaan.
“Memang teruja sebab ini kali pertama saya lakukannya. Di gerai saya nanti, saya akan menjual beberapa produk seperti tudung, baju kurung, kuih raya dan juga paling istimewa adalah sambal kering yang memang dijamin sedap.
“Sepanjang bazar itu dijalankan, kalau tidak ada apa-apa yang penting, saya memang akan berada di gerai,” katanya teruja.
Selain Nad, selebriti lain yang akan turut menjayakan Santai Lebaran Fiesta 2015 di bazar masing-masing antaranya Sherry Alhadad, Erra Fazira, Shuib (Sepahtu) dan Puteri Balqis.
Perjalanan masih jauh
Sering diberi peluang memegang watak wanita bertudung, Nad turut mengakui peluang tersebut menjadi batu loncatan buat dirinya.
“Alhamdulillah, sudah dua tahun saya dilantik sebagai duta tudung berjenama Miss Wiss Wardobe.
“Walaupun kami tidak terikat dengan kontrak dan hanya bercakap secara lisan, tapi saya akui ia banyak membantu dan boleh dikatakan ianya situasi menang-menang,” katanya.
Di tanya sama ada dirinya bakal mengekalkan imej bertudung, Nad bagaimanapun akui banyak perkara yang perlu diperbaikinya terlebih dahulu.
“Insya-ALLAH satu hari nanti saya akan berubah tapi buat masa ini secara jujurnya perjalanan saya masih jauh.
“Banyak lagi perkara yang perlu saya jalani,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.
Dalam perkembangan lain, Nad bakal muncul menerusi dua buah telefilem berjudul Rumah Kecil Untuk Tuhan dan Dia Ibuku sempena Aidilfitri yang akan menjelang tiba tidak lama lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment