Saturday, 20 June 2015

‘Gunung Kinabalu itu rumah saya’

gempa bumi

KUNDASANG - Biarpun mereka tidaklah sesasa pelakon filem namun gambar seorang malim gunung memikul seorang pelajar yang menjadi viral selepas kejadian gempa bumi di Sabah Jumaat lepas, meletakkan mereka sebagai ‘badang Malaysia’ yang cukup hebat.

Sebilangan besar malim gunung pernah bekerja sebagai porter yang mampu membawa barang pelancong sehingga seberat 50kg dan mendaki sampai ke puncak Gunung Kinabalu tanpa sebarang masalah.

Menurut Mhd Rizuan Kauhinin, 25, yang kini terkenal di seluruh dunia setelah penyebaran gambarnya memikul pelajar ketika kejadian gempa bumi itu, dia bekerja sebagai porter sejak di bangku sekolah seawal umur 17 tahun.

Katanya, tugas porter sememangnya penuh dengan cabaran dan memerlukan kekuatan fizikal dan mental selain sebagai latihan untuk mereka membina kekuatan dan mengetahui selok-belok gunung sebelum menjadi seorang malim gunung.

"Kalau (pikul) tong gas itu biasa saja, selalunya barang pelancong yang porter pikul sehingga tiga beg, boleh jadi 50kg.    

"Tapi bagi saya itu semua untuk mencari rezeki yang halal sebab saya  tidak boleh tinggalkan Gunung Kinabalu sebab itulah rumah saya dan tempat saya mencari rezeki," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Porter kebiasaannya akan memulakan kerja memikul barang pelancong di tapak 'Timpohon Gate' sehingga ke Laban Rata yang dianggarkan enam kilometer pendakian.

Mhd Ridzuan berkata, harga untuk membawa barang pelancong adalah RM10 untuk setiap 1kg dan mereka perlu bekerja sebagai porter selama dua tahun dan pernah sampai ke puncak Gunung Kinabalu melebihi 10 kali untuk layak menjadi seorang malim gunung.

Bagi malim gunung wanita, Anis Monggol, 54, biarpun tubuh badannya kecil dan tenaganya tidak sama seperti lelaki, dia pernah memikul sebalang tong gas dengan ketumpatan 15kg dari Gate Timpohon sehingga ke Restoran Laban Rata.

Katanya, seawal usia 25 tahun dia sudah mula berkecimpung sebagai porter restoran dengan tugasnya membawa barang-barang restoran ke Laban Rata.

“Di samping menjadi porter dia turut melibatkan diri dalam acara 'Climbathon' sejak tahun 2000.

"Di situ (acara Climbathon) saya belajar stamina dan tingkatkan larian saya untuk mendaki gunung. Saya memang akan ambil bahagian dalam acara ini setiap tahun dan saya harap acara itu dapat dianjurkan lagi di Gunung Kinabalu tahun ini," katanya.

Mengikut senarai rekod 'Mt.Kinabalu International Climberthon', Anis mendapat tempat kedua dalam kategori 'Veteran Wanita' tahun lepas, dengan catatan masa 3 jam 54 minit.

Kategori Veteran Wanita membabitkan sejauh 33 kilometer dengan laluan khas dari pejabat Kinabalu Park, mendaki sehingga 'Layang-Layang Hut' dan berlari sehingga ke pekan Kundasang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi, 49, berkata pekerjaan porter adalah pekerjaan lumrah bagi semua malim gunung kerana ia membina jati diri, tingkatkan disiplin dan stamina seseorang sebelum mereka layak menjadi malim gunung.    

Katanya, dia menjadi porter sejak berumur 16 tahun dan kini dengan pengalamannya yang luas rekodnya mendaki Gunung Kinabalu sudah lebih 1,000 kali pendakian.

"Dulu masa muda, kawasan Kundasang tidak ada banyak peluang pekerjaan, jadi kebanyakan penduduk di sekitar kawasan itu, cari rezeki dengan bercucuk tanam dan menjadi porter," katanya.

Richard turut memberikan petua kepada mereka yang mahu mendaki gunung selain bersenam dan berjoging, paling penting jalani aktiviti berbasikal. - Bernama

No comments:

Post a Comment