Thursday, 18 June 2015
Ketahui suami nikah lagi selepas nahas
KOTA TINGGI - [DIKEMASKINI] Seorang isteri terkejut apabila mendapati wanita yang maut dalam kemalangan yang turut meragut nyawa suami dan ibu mertuanya semalam adalah isteri kedua suaminya, dipercayai baru bernikah beberapa hari lalu.
Abdullah Suhaime Abd Rahman, 30, yang bekerja sebagai pembantu juru X-Ray di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan Rohayu Abas, 29, serta ibu Abdullah Suhaime, Rokiah Abu Bakar, 52, maut di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 42.2 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran stesen minyak di Batu 1 Jalan Mawai kira-kira jam 5 pagi.
Kemalangan berlaku apabila kereta Ford Fiesta dipandu Rohayu yang merupakan jururawat di HSA, bertembung dengan sebuah lori pasir.
Pemandu lori cedera di mata dan dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).
Isteri pertama mangsa, Farah Fadila Faizal, 27, berkata, dia mendapat tahu kejadian menimpa suaminya daripada rakan melalui aplikasi WhatsApps sebelum dimaklumkan anggota polis.
Dia yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga dan hamil empat bulan, terkejut menerima berita buruk itu.
“Ahad lalu, suami ada beritahu saya dia hendak pergi kursus beberapa hari.
"Saya ada mengirim pesanan ringkas melalui telefon ketika dia sedang berkursus mengadu kaki saya sakit, tapi suami tak balas.
“Saya tak tahu ibu mertua dan wanita itu bersamanya sehingga terima berita tentang kemalangan ini,” katanya.
Sementara itu, adik Abdullah Suhaime, Maizatul, 25, berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian tersebut kira-kira jam 7 pagi daripada ibu saudaranya sebelum bergegas ke HKT bersama ayahnya, Abd Rahman Ali, 58.
Katanya, dia mengetahui ibu, abang dan kakak iparnya maut sebaik tiba di balai polis.
“Rohayu merupakan isteri kedua abang dan mereka baru melangsungkan pernikahan di Terengganu. Mereka ke Terengganu tiga hari lalu.
“Saya dan abang hanya dua beradik. Selepas abang tidak tinggal bersama, saya jarang berbual dengannya. Malah akhir-akhir ini, dia (nampak seperti) tidak seceria selalu,” katanya ditemui di unit forensik HKT, semalam.
Jenazah dibawa untuk dikebumikan di kampung neneknya dekat Kampung Kuala Sentul, Maran, Pahang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, nahas dipercayai berlaku apabila Ford Fiesta dinaiki ketiga-tiga mangsa dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru, bertembung dengan lori yang datang dari arah Johor Bahru.
“Hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan jalan lurus, jalan berkembar dua hala serta mempunyai garisan berkembar sebagai pembahagi jalan,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment