Wednesday, 3 June 2015

Nazmi Faiz dihantar pulang hari ini - Norza Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/58840

Image result for nazmi faiz mansor
SINGAPURA: Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA 2015, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan pemain tengah skuad Bawah 23 (B-23) negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor akan dihantar pulang ke tanah air hari ini selepas digantung enam perlawanan akibat meludah pemain lawan.
Beliau berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak sepatutnya menangguhkan hukuman ke atas pemain berkenaan yang dianggap telah mencemar nama baik negara pada kejohanan sukan antarabangsa seperti Sukan SEA memandangkan setiap atlet yang menggalas cabaran negara merupakan 'duta kecil' yang membawa nama baik Malaysia yang merupakan Pengerusi ASEAN 2015.
"Bagi saya, dari mula apa yang dibuat oleh (Muhammad) Nazmi Faiz dalam sukan perpaduan seperti Sukan SEA ini merupakan satu contoh yang tidak baik. Perbuatan sedemikian perlu diambil tindakan segera," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Muhammad Nazmi yang juga pemain skuad Liga Super Selangor sah terlepas baki saingan acara bola sepak pada temasya Sukan SEA 2015 yang sedang berlangsung di Singapura. Pemain Selangor itu yang sebelum ini digantung dua perlawanan, terpaksa menempah 'tiket awal' pulang ke tanah air selepas Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia AFC pada Selasa memutuskan mengenakan penggantungan enam perlawanan akibat kesalahan meludah pemain Timor Leste pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura, Sabtu lepas.
Hukuman berkenaan disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi laman Facebook rasmi mereka, semalam.
Muhammad Nazmi Faiz dilaporkan meludah pemain Timor Leste, Filipe Oliveira sehingga pengadil, Chuan Hui Foo dari Singapura, melayangkan kad merah ke atas pemain kelahiran Lembah Keramat itu.
Insiden berkenaan berlaku ketika pertemuan antara Malaysia dan Timor Leste pada aksi pembukaan kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura, Sabtu lepas yang menyaksikan skuad B-23 negara menang tipis 1-0 hasil jaringan D. Saarvindran.
Dalam pada itu, Mohamad Norza meminta pemain skuad B-23 negara untuk melupakan kekalahan besar 1-5 kepada Vietnam pada aksi kedua kumpulan B di venue yang sama, semalam dan menuntut mereka kembali bangkit mencatat kemenangan menentang juara bertahan, Thailand di Stadium Bishan, Khamis ini.
Malaysia berada di tangga keempat kumpulan B menerusi satu kemenangan dan satu kekalahan dan perlu meraih kemenangan dalam baki tiga perlawanan dalam menghidupkan kembali peluang ke peringkat separuh akhir Sukan SEA 2015.
Perlawanan berkenaan adalah menentang Thailand, Khamis ini; Brunei (8 Jun) dan Laos, tiga hari kemudian. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment