Sunday, 21 June 2015

Tukang masak Orkim Harmony keluar hospital Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/62659



KOTA BHARU: Kru kapal MT Orkim Harmony yang cedera ditembak di paha kanan, dibenarkan keluar selepas dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) jam 12.30 tengah hari tadi.
Mangsa warga Indonesia, Mawit Martin, 46, yang juga tukang masak di kapal terbabit, diiringi keluar bersama anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menaiki sebuah van.
Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) daerah 10 Kelantan, Kapten Nurul Hizam Zakaria, berkata mangsa kini dibawa anggota APMM ke Kuantan bagi membantu siasatan ke atas kes berkenaan.
Mawit yang ditemani abangnya Marsuki Mohamad Rito, 63, dilihat keluar dari hospital berkenaan dan terus dibawa menaiki van oleh anggota APMM.
Pemberita tidak dibenarkan menemuramah mangsa.
Mawit cedera di paha kiri akibat ditembak lanun ketika dikatakan cuba melawan seorang daripada perampas kapal itu.
Sementara itu, Marsuki berkata, dia berharap adiknya itu dapat segera pulang ke Indonesia.
"Apa yang penting dia selamat, kami sekeluarga bersyukur kecederaannya tidak serius," katanya.
Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam 11 Jun lalu ketika dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Kapal milik Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.
Operasi menyelamat kapal itu yang dirampas lapan orang lanun yang bersenjatakan pistol dan parang berakhir dengan semua anak kapal dibebaskan kira-kira jam 2.30 pagi Jumaat.
Kapal itu selamat tiba di Pelabuhan Kuantan kira-kira pukul 7.50 pagi semalam di Dermaga PETRONAS.
Lapan lelaki yang dipercayai perampas kapal itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam ketika cuba meloloskan diri daripada pemburuan pada jam 6.30 pagi Jumaat.

No comments:

Post a Comment